ad

Malim gunung bertanggungjawab pastikan keselamatan pendaki

18 Okt 2025, 9:58 AM
Malim gunung bertanggungjawab pastikan keselamatan pendaki

SHAH ALAM, 18 OKT: Seorang malim gunung bukan sekadar perlu mengetahui laluan dan denai naik ke puncak, tetapi juga bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan setiap pendaki dalam kumpulan yang diterajuinya.

Bekas Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Cawangan Negeri Selangor (PMGPCNS), Mohamad Ariffin Sulaiman berkata istilah 'no one left behind' wajib menjadi pegangan setiap malim gunung ketika bertugas.

“Istilah 'no one left behind'. Setiap pendaki, contohnya kalau kita bawa lima atau tujuh orang. Masuk hutan dan keluar hutan perlu jumlah yang sama, tidak boleh tertinggal walau seorang pun.

“Saya agak sedih juga dengan kejadian ini apatah lagi melibatkan kematian. Saya pernah hadapi juga situasi seperti ini, dan pernah ikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Nuang sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang meninggal dunia selepas ditemui di puncak Gunung Liang, Perak pada Khamis lalu.

Mangsa yang mengalami sakit kaki dan berjalan perlahan ketika aktiviti pendakian, dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh kumpulannya yang turut disertai sembilan lagi pendaki.

Dalam pada itu, Mohamad Ariffin menjelaskan Gunung Liang merupakan antara gunung yang paling mencabar berikutan laluannya yang amat curam dan bahaya, terutamanya kepada pendaki amatur.

Beliau yang mula menjadi malim gunung sejak 2022 berkata, mengikut tatacara operasi piawai (SOP), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia akan turut melaksana pascanilai (post mortem) namun tertakluk kepada jenis insiden.

“Kepada sahabat-sahabat malim gunung, kita perlu pastikan kumpulan kita pergi dan balik dalam keadaan selamat. Kita perlu usaha sebaik mungkin, dan lebih profesional dalam memastikan keselamatan pendaki,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Mohd Nor Firdaus Rahim menasihatkan orang awam berhati-hati ketika menjalankan aktiviti pendakian hutan.

Beliau turut memaklumkan semua aktiviti di hutan simpan kekal di Selangor dan Taman Eko Rimba bawah kelolaan JPNS akan ditutup sementara bermula 17 November hingga 31 Januari 2026.

“Penutupan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan kepada pengunjung berikutan musim tengkujuh,” katanya.