HULU LANGAT, 18 OKT: Program Rewang Komuniti Strata di Pangsapuri Cempaka (Council Homes), Seksyen 16, Bandar Baru Bangi di sini, disertai lebih 3,000 penduduk menjadi medium pengerat hubungan antara masyarakat setempat.
Disempurnakan EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah hari ini, bermula seawal 8 pagi, program diceriakan dengan Batik Fun Walk yang disertai kira-kira 250 peserta selain persembahan silat seni gayong daripada 50 peserta.
Turut disediakan gerai pameran pelbagai agensi termasuk Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dengan pengunjung berpeluang mendapatkan perkhidmatan konservasi dokumen lama secara percuma serta mencuba permainan tradisional seperti congkak dan dam.

Selain itu, ruang pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, kadar gula dan kolesterol dalam darah serta gigi disediakan secara percuma, kaunter maklumat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), aktiviti sukan rakyat selain demonstrasi memadam kebakaran.
Pada sebelah malam ini, program diteruskan dengan makan malam dengan juadah yang dihidangkan secara rewang disediakan oleh penduduk setempat.
Ketua rewang Sharani Aman Shah berkata program berkenaan ternyata mengembalikan nostalgia zaman dahulu apabila semangat gotong-royong dan kerjasama antara jiran kembali terserlah dalam kalangan penduduk setempat.

“Untuk program ini kita tumbangkan lembu seekor dan kambing empat ekor. Hari ini menu utama disediakan masakan gulai daging kari umbut batang pisang, kambing Morocco, ayam goreng berempah dan acar jelatah.
“Program seperti ini mengeratkan hubungan antara masyarakat. Memang patut diadakan setiap tahun untuk terusan kemesraan. Jika tidak kita buat hal kita saja. Dulu, memang ada rewang ini, tapi sekarang banyak katering jadi tiada suasana meriah seperti ini,” katanya ditemui hari ini.
Penduduk, Norrizan Abdul Talib, 65, berkata selain gembira mendapat pemeriksaan kesihatan secara percuma, program berkenaan juga ternyata mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk sambil menghidupkan semula suasana yang penuh kemesraan dan kebersamaan.
“Saya suka program seperti ini dianjurkan selalu. Saya turut terlibat dengan rewang. Baguslah. Memang sepatutnya diteruskan,” katanya.

Bagi penduduk, S Meenakumari, 47, walaupun berlainan kaum program seperti ini memberi peluang untuk saling mengenali dan bekerjasama, sekali gus memupuk semangat perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya dalam komuniti setempat.
“Bagi saya, bagus program ini sebab kita boleh berkenalan dengan jiran-jiran. Erat silaturahim dengan semua kaum. Kalau boleh saya harap setahun sekali buat macam ini pun baik. Semua boleh turun dengan pelbagai program disediakan seperti permainan dan pemeriksaan kesihatan,” katanya.






