ad

Tragedi Gunung Liang: Jenazah Mustaqqeem selamat dikebumikan

18 Okt 2025, 3:04 AM
Tragedi Gunung Liang: Jenazah Mustaqqeem selamat dikebumikan

KEPALA BATAS, 18 Okt: Jenazah Mustaqqeem Mansor yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, Perak pada Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Penaga di sini pagi tadi.

Terdahulu, jenazah dibawa ke masjid itu kira-kira 2 pagi untuk disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan selepas solat subuh, dengan diiringi lebih 200 ahli keluarga, rakan dan penduduk setempat.

Turut kelihatan isteri arwah Nur Faratin Mohd Othman, 31, yang dipapah ahli keluarga.

Sementara itu, adik arwah Muzammeer, 33, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka sekeluarga bermula dari operasi mencari dan menyelamat sehingga selesai pengebumian.

Muzammer yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan berkata ahli keluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka arwah akan meninggalkan mereka begitu cepat.

“Kali terakhir saya jumpa abang bulan lepas. Kami tiga beradik memang rapat dan abang juga baik dengan semua,” katanya.

Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada 3.30 petang 16 Okt di puncak Gunung Liang Barat selepas bersama-sama 10 rakan memulakan pendakian pada 10 Okt dari Bukit Fraser, Pahang dengan kali terakhir dilihat pada 14 Okt.

Jenazah dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba pada 2.45 petang semalam, dan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan hipotermia.