ad

MB: Negeri salur bantuan menyeluruh tanpa beza kaum dan agama

18 Okt 2025, 1:00 AM
MB: Negeri salur bantuan menyeluruh tanpa beza kaum dan agama

KLANG, 18 OKT: Bantuan disalurkan Kerajaan Negeri kepada rakyat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang dirangka memperkukuh pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan sosial seiring kemajuan negeri.

“Kerajaan Negeri konsisten dalam memastikan dasar dan program dilaksana harus adil pada semua selain beri kebaikan kepada masyarakat termasuk kaum India.

“Antara program dilaksana adalah bantuan yuran pengajian institusi pengajian tinggi kepada komuniti India dengan belanja RM1.2 juta. Selain itu, murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang kurang berkemampuan juga dibantu menerusi subsidi tambang bas sekolah.

“Bukan itu sahaja, sempena Deepavali kita beri baucar Jom Shopping dengan peruntukan RM4.43 juta yang memanfaatkan lebih 20,000 komuniti India serta RM5 juta bawah program bantuan sekolah negeri,” katanya.

Beliau berucap pada sambutan Hari Deepavali peringkat Selangor 2025 berlangsung di Dataran Klang @ Padang Chetty malam ini yang turut dihadiri EXCO Pembasmian Kemiskinan V.Papparaidu.

Pada majlis tersebut, Amirudin menyampaikan cek cura peruntukan rumah ibadat bukan Islam kepada 141 persatuan dan pertubuhan yang menguruskan kuil untuk pembinaan, penyelenggaraan dan aktiviti keagamaan dengan peruntukan hampir RM1 juta.

Amirudin turut menyampaikan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor atau lebih dikenali sebagai i-SEED berjumlah RM1 juta kepada 146 usahawan India bagi meningkatkan taraf ekonomi.

Turut hadir pada majlis Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Pelaburan Ng Sze Han, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim dan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain.