SHAH ALAM, 11 OKT: Belanjawan 2027 dilihat memberi tumpuan kepada keperluan semasa rakyat, selain menyediakan asas bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang.
Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology (MUST) berkata belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu menunjukkan perancangan ekonomi yang tidak hanya tertumpu kepada penyelesaian jangka pendek.
Menurutnya, pendekatan itu menggambarkan hasrat kerajaan meneruskan agenda pembangunan ekonomi negara untuk tempoh lebih panjang.

“Saya sebenarnya kagum kerana belanjawan ini tidak memberi gambaran seolah-olah kerajaan sedang menghampiri penghujung pentadbirannya.
“Sebaliknya, ia seakan-akan menunjukkan kerajaan akan terus menerajui pembangunan ekonomi negara untuk satu dekad atau lebih,” katanya kepada Media Selangor menerusi temu bual telefon.
Barjoyai menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan yang mempunyai langkah jelas kerana mengambil kira keperluan isi rumah melalui usaha meningkatkan pendapatan, mengurangkan kos sara hidup serta menyediakan subsidi dan bantuan kewangan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan langkah lebih khusus diperlukan bagi memastikan matlamat ekonomi jangka sederhana dan panjang dapat dicapai.
“Paling penting, belanjawan ini menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan usaha tersebut. Namun, bagi jangka panjang, mungkin diperlukan inisiatif yang lebih konkrit,” katanya.
Mengulas langkah yang boleh ditambah baik, Barjoyai mencadangkan penubuhan dana endowmen nasional bagi menyediakan sumber kewangan berterusan untuk menjaga kebajikan rakyat.
Beliau mengambil contoh dana kekayaan negara Norway yang digunakan sebagai mekanisme simpanan dan pelaburan bagi menyokong keperluan negara dalam jangka panjang.
Menurutnya, dana berkenaan boleh menerima sumbangan daripada syarikat termasuk melalui cukai ke atas keuntungan berlebihan yang diperoleh hasil penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, syarikat yang semakin mendapat manfaat daripada teknologi itu wajar turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Dana ini boleh dibiayai melalui sumbangan cukai daripada syarikat yang memperoleh manfaat besar dan keuntungan berlebihan hasil penggunaan AI.
“Mereka sepatutnya turut menyumbang bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Barjoyai turut mencadangkan syarikat yang menyumbang diberikan pelepasan cukai sebagai galakan, manakala dana yang dikumpulkan disalurkan terus ke tabung khas berkenaan dan bukannya hasil umum kerajaan.
Mengulas bantuan kewangan dan insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, beliau berkata jumlah bantuan mungkin belum dapat memenuhi sepenuhnya keperluan isi rumah, namun mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Menurutnya, perubahan ekonomi jangka panjang turut memerlukan peningkatan pelaburan teknologi, produktiviti serta budaya keusahawanan dan inovasi.
Beliau berkata pendekatan sama boleh dilaksanakan di Selangor bagi memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
Belanjawan pragmatik, kekalkan disiplin kewangan
Belanjawan 2027 yang dibentangkan Anwar pada Jumaat lalu memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM460 bilion, tertinggi setakat ini dan meningkat kira-kira 3.6 peratus berbanding anggaran 2026 yang disemak.
Daripada jumlah itu, RM83 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, manakala RM377 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai pendekatan pragmatik kerana mengimbangi bantuan kepada rakyat dengan usaha mengawal kewangan negara.
Menurutnya, defisit fiskal negara diunjurkan mengecil kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, berbanding anggaran 3.6 peratus pada 2026.
Defisit fiskal merujuk kepada keadaan apabila perbelanjaan kerajaan melebihi hasil yang dikutip.
Beliau berkata pengurangan defisit itu menunjukkan usaha kerajaan mengurus perbelanjaan secara lebih berhemat, sambil memenuhi keperluan rakyat dan sektor perniagaan.
“Hasil kutipan juga dijangka melebihi RM70 bilion tahun depan. Ini menunjukkan langkah percukaian yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu, khususnya melibatkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mula membuahkan hasil.
“Kita perlu ingat kadar cukai perkhidmatan dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus pada 2024, manakala skop SST diperluas pada Julai tahun lalu. Langkah ini meningkatkan kutipan SST dengan ketara,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata Belanjawan 2027 memperlihatkan usaha kerajaan mengimbangi kemampuan kewangan negara dengan penyediaan bantuan yang bersesuaian kepada rakyat.
“Gabungan disiplin fiskal dan usaha kerajaan menyediakan bantuan yang sewajarnya kepada rakyat jelas ditunjukkan dalam belanjawan ini.
“Jadi, saya tidak melihatnya sebagai belanjawan yang terlalu populis. Sebaliknya, ia merupakan pendekatan yang pragmatik,” katanya.







