ad

Selangor komited hapus kemiskinan tegar, sasar 7,000 rakyat keluar dari kemiskinan

12 Sep 2025, 8:44 AM
Selangor komited hapus kemiskinan tegar, sasar 7,000 rakyat keluar dari kemiskinan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan Selangor komited memperhebat usaha membasmi kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan dasar kebajikan negeri, tegas Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semakan dibuat pada setiap enam bulan bagi mengenal pasti individu yang berada di bawah kategori miskin tegar untuk disalurkan bantuan seperti Iltizam Selangor Penyayang, Bantuan Kehidupan Sejahtera (BINGKAS) termasuk Lembaga Zakat Selangor.

“Selaku Pengerusi Jabatan Pembangunan Negeri, selain memantau projek terbengkalai, kita turut meneliti jumlah individu miskin tegar dan miskin yang perlu ditangani.

“Sejak pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 untuk menoktahkan dan menamatkan miskin tegar, Selangor membuat semakan setiap enam bulan.

"Jika ada individu dikenal pasti, kita segera menyalurkan bantuan zakat dan program kebajikan negeri seperti BINGKAS bagi membantu mereka keluar daripada kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kerja Undi bagi peruntukan perdana menteri di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Amirudin turut memaklumkan pentadbiran negeri memberi tumpuan kepada golongan miskin yang kini direkodkan seramai 15,000 hingga 17,000 orang di Selangor.

“Daripada jumlah ini, negeri menyasarkan seramai 6,000 hingga 7,000 individu dapat keluar daripada kemiskinan dalam tempoh terdekat.

"Bantuan bukan sahaja melalui program kebajikan, malah dengan penyediaan peluang pekerjaan kerana konsep Kerajaan Selangor ialah ‘no one is left behind’,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.