KLANG, 18 OKT: Kerajaan Selangor menyasarkan menoktahkan kemiskinan menjelang tiga tahun akan datang, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri mendapati kira-kira 2,000 individu berdepan dengan masalah tersebut berada di ambang miskin tegar.
“Sebelum ini, kita ada senarai miskin tegar, dan tidak berdiam diri dengan ambil tindakan laksana pelbagai bantuan menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) selain memantau rekod setiap enam bulan.
“Kaedah ini membuahkan hasil dan kita berjaya menoktahkan kemiskinan tegar. Tahun ini, kita dapati 2,000 individu berada pada tahap miskin, terlantar yang perlu dibantu.
“Mereka belum jatuh ke miskin tegar lagi dan kita cuba bantu selesaikan masalah supaya keluar daripada kemiskinan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Deepavali peringkat Selangor 2025 berlangsung di Dataran Klang @ Padang Chetty malam tadi.
Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan formula bagi membasmi kemiskinan akan dibentang pada Belanjawan Negeri akan datang.
“Untuk miskin ada yang tidak boleh bekerja dan perlu dibantu supaya kehidupan mereka ada bantuan asas. Kita akan kemukakan dalam belanjawan, kaedah atau formula sama memantau rekod setiap enam bulan.
“Kita akan bantu dengan inisiatif Kerajaan Negeri selain tambah dengan bantuan lain seperti zakat, jabatan kebajikan termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS),” katanya.




