ad

Sambutan Deepavali peringkat Selangor meriah, MB seru kekalkan perpaduan

17 Okt 2025, 3:16 PM
Sambutan Deepavali peringkat Selangor meriah, MB seru kekalkan perpaduan
Sambutan Deepavali peringkat Selangor meriah, MB seru kekalkan perpaduan
Sambutan Deepavali peringkat Selangor meriah, MB seru kekalkan perpaduan
Sambutan Deepavali peringkat Selangor meriah, MB seru kekalkan perpaduan

KLANG, 17 OKT: Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum membanjiri Dataran Klang @ Padang Chetty malam ini sempena sambutan Hari Deepavali peringkat Negeri Selangor 2025.

Biarpun hujan, orang ramai tidak berganjak bagi meraikan perayaan bertemakan ‘Cahaya Perpaduan Selangor Harmoni’ yang diserikan dengan pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut dihadiri EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu EXCO Pelaburan Ng Sze Han, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, dan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain.

Dalam ucapannya, Amirudin menyeru rakyat mengekalkan semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum serta menolak sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecahbelahkan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Sambutan Hari Deepavali Peringkat Selangor 2025 di Dataran Klang pada 17 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Ini cara Selangor kekalkan perpaduan dan formula tersebut terbukti berjaya apabila kita menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 26.2 peratus selain merancakkan aktiviti ekonomi.

“Kita mesti pertahankan perpaduan dan kemakmuran yang dibina, serta menolak mereka yang mempermainkan isu agama atau perkauman. Terus bersatu hati dan kekalkan keharmonian,” katanya.

Amirudin turut menegaskan pemilihan tema sambutan tahun ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh keharmonian, kebersamaan dan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bergambar bersama penerima sumbangan pada Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2025 di Dataran Klang pada 17 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pada majlis sama, beliau menyampaikan cek cura berjumlah hampir RM1 juta kepada 141 persatuan dan pertubuhan rumah ibadat bukan Islam bagi tujuan pembinaan, penyelenggaraan serta aktiviti keagamaan.

Selain itu, bantuan peralatan keusahawanan i-SEED bernilai RM1 juta turut disampaikan kepada 146 usahawan India Selangor bagi memperkasa ekonomi komuniti berkenaan.