SHAH ALAM, 17 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi sejajar keperluan industri semasa.
KDEBWM dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama berkenaan dimeterai melalui tiga inisiatif utama, iaitu penyerahan cek cura KDEBWM bagi merealisasikan penubuhan Pusat Pengurusan TVET UUM-KDEBWM, pelancaran pembangunan Aplikasi Sistem Pengurusan TVET UUM dan penyerahan laporan penyelidikan akademik. bertajuk “Kesedaran Pendidikan TVET: Tinjauan Kakitangan Syarikat Pengurusan Sisa Tempatan.”
“Penyerahan cek cura ini menandakan komitmen rasmi KDEBWM dalam menyokong ekosistem TVET negara melalui penubuhan pusat pengurusan tersebut.
“Inisiatif ini menjadi simbol penyatuan kepakaran industri dan akademia bagi memperkukuh agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, selaras aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja kompeten melalui sistem pendidikan dan latihan teknikal yang inklusif serta berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.
Pusat berkenaan dijangka meningkatkan koordinasi latihan, menyeragamkan modul pembelajaran serta memperluas penyelidikan terapan yang relevan dengan keperluan industri pengurusan sisa dan sektor berkaitan.
Sementara itu, UUM memperkenalkan Aplikasi Sistem Pengurusan TVET UUM, platform digital sehenti bagi memodenkan pengurusan TVET melalui pemetaan kompetensi dan jurang kemahiran, pengurusan latihan serta pensijilan, rekod pembelajaran berpusat dan pemadanan penempatan kerjaya.
“Penyelesaian digital ini diharap dapat mempercepat pemindahan teknologi, menyelaras aliran bakat dan meningkatkan kebolehpasaran graduan serta tenaga kerja sedia ada,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, laporan penyelidikan akademik bertajuk “Kesedaran Pendidikan TVET” turut mengesahkan komitmen KDEBWM terhadap penyelidikan akademik berimpak tinggi. Dapatan kajian tersebut menjadi asas penting dalam penambahbaikan dasar latihan, peningkatan kompetensi warga kerja dan pengukuhan sinergi pendidikan industri.
Melalui kerjasama ini, KDEBWM dan UUM bertekad meneruskan pelaksanaan fasa seterusnya melibatkan pengoperasian Pusat Pengurusan TVET, peluasan modul latihan berasaskan industri serta integrasi menyeluruh aplikasi sistem pengurusan TVET.
“Usaha berterusan ini diyakini dapat mempercepat pewujudan bakat tempatan yang kompeten, mengukuhkan kebolehpasaran tenaga kerja dan memperhebat ekosistem TVET negara secara mampan,” menurut kenyataan itu.





