ad

12,500 pelajar terima vaksin Influenza A percuma mulai minggu depan

17 Okt 2025, 7:24 AM
12,500 pelajar terima vaksin Influenza A percuma mulai minggu depan

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi membiayai pemberian vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah yang berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif berkenaan akan bermula seawal minggu depan dan memberi tumpuan kepada pelajar di daerah Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.

"Pelaksanaan program ini akan diketuai oleh EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin, sebagai langkah segera mengekang penularan penyakit tersebut di sekolah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Perkara tersebut diputuskan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini sebagai langkah segera menangani peningkatan kes penyakit berjangkit itu di sekolah.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kira-kira 83 peratus wabak influenza di seluruh negara dikesan berlaku di sekolah dan tadika.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025, premis sekolah merekodkan sebanyak 352 kes diikuti tadika dengan 96 kes.

"Daripada keseluruhan wabak yang dilaporkan, 65.8 peratus berlaku di sekolah dan 17 peratus di tadika, manakala selebihnya dikesan di kolej, tempat kerja dan institusi lain," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.