SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan, termasuk memakai pelitup muka di kawasan sesak, susulan peningkatan kes influenza di seluruh negara.
Pakar Virologi Molekul Universiti Monash, Profesor Madya Dr Vinod Balasubramaniam berkata, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati memandangkan penularan wabak itu kini banyak berlaku di sekolah.
“Malaysia sedang menyaksikan peningkatan kes yang berpusat di sekolah. Walaupun Kementerian Kesihatan memaklumkan keadaan masih terkawal, musim cuti dan aktiviti sosial berpotensi meningkatkan penularan.
“Virus ini merebak melalui udara pada jarak dekat serta menerusi tangan dan permukaan yang tercemar. Jika tidak sihat, duduklah di rumah, pakai pelitup muka di tempat sesak, pastikan pengudaraan baik dan amalkan kebersihan tangan,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.
Beliau berkata, lonjakan jangkitan influenza dipengaruhi oleh peningkatan aktiviti sosial selepas pandemik, termasuk perjalanan, pelancongan dan sesi persekolahan bersemuka.
Menurutnya, kanak-kanak pula menjadi penyebar paling efisien kerana sistem imun mereka masih lemah.
“Virus Influenza A sub jenis H3N2 kini dominan di beberapa negara di Asia. Peningkatan kes di Malaysia mencerminkan trend serantau, bukan gelombang global,” katanya.
Pada masa sama, Dr Vinod menasihatkan pelajar dan guru yang tidak sihat supaya berehat di rumah sekurang-kurangnya 24 jam selepas bebas demam tanpa ubat bagi mengelak penularan di sekolah.
Katanya, kumpulan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik perlu mendapatkan rawatan awal, manakala ubat antivirus paling berkesan jika diambil dalam tempoh 48 jam selepas simptom bermula.
Terdahulu, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta bagi membiayai pemberian vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah yang berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.
Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif berkenaan akan bermula seawal minggu ini dan memberi tumpuan kepada pelajar di daerah Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
"Pelaksanaan program ini akan diketuai oleh EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin, sebagai langkah segera mengekang penularan penyakit tersebut di sekolah," katanya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Jumaat.