KUALA LANGAT, 23 OKT: Proses pemberian suntikan vaksin Influenza A secara percuma akan dimulakan minggu ini membabitkan empat daerah, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian vaksin itu memberi fokus kepada empat daerah iaitu di Hulu Langat, Gombak, Klang, dan Petaling.
“Pemberian vaksin percuma ini di bawah EXCO Kesihatan Awam (Jamaliah Jamaluddin) dan Jabatan Pendidikan Selangor. Kita mulakan di empat daerah berikutan mencatat kes Influenza tinggi.
“Nanti kita akan berikan (laporan) jumlah berapa ramai yang telah siap dalam masa terdekat,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya hari ini.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Selangor memperuntukkan RM1 juta untuk suntikan vaksin Influenza A secara percuma.
Pemberian vaksin itu diberikan kepada 12,500 pelajar di empat daerah iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang, dan Petaling yang mana pelaksanaannya diketuai Jamaliah selaku EXCO Kesihatan Awam.






