ad

83 peratus kes influenza berlaku di sekolah, tadika

16 Okt 2025, 4:50 AM
83 peratus kes influenza berlaku di sekolah, tadika

SHAH ALAM, 16 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kira-kira 83 peratus wabak influenza di seluruh negara dikesan berlaku di sekolah dan tadika.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025, premis sekolah merekodkan sebanyak 352 kes diikuti tadika dengan 96 kes.

"Daripada keseluruhan wabak yang dilaporkan, 65.8 peratus berlaku di sekolah dan 17 peratus di tadika, manakala selebihnya dikesan di kolej, tempat kerja dan institusi lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly berkata, KKM giat menjalankan pemantauan berterusan melalui sistem Influenza-like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) bagi mengesan pola jangkitan di seluruh negara.

“Bagi tahun 2025, kadar konsultasi kes influenza meningkat daripada 7.38 peratus pada ME 40 kepada 9.22 peratus pada ME 41 (5–11 Oktober). Namun, kadar ini masih rendah berbanding kemuncak jangkitan tahun lalu,” katanya.

Bagi mengekang penularan, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak bergejala ke sekolah dan segera mendapatkan rawatan jika simptom bertambah teruk.

Katanya, guru dan pihak sekolah turut disaran memperkukuh pendidikan kesihatan, melaporkan kes kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta bekerjasama dalam melaksanakan langkah kawalan, termasuk penutupan premis sementara jika perlu.

“Jika penularan hanya terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan hendaklah difokus kepada kumpulan tersebut,” katanya.