GOMBAK, 17 OKT: Harga barangan keperluan asas sempena perayaan Deepavali ditawarkan jauh lebih murah melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di 124 lokasi seluruh Selangor sepanjang minggu ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, program itu berlangsung mulai 16 hingga 22 Oktober bagi membolehkan rakyat menikmati potongan harga sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding harga pasaran.
“Sebagai contoh, Pasar Raya TF Value Mart di Batu Caves turut menyertai inisiatif ini dengan menawarkan 27 barangan pada harga Rahmah.
"Antara barangan ditawarkan termasuk beras, minyak masak, tepung dan gula,” katanya pada sidang media Liputan Pemantauan Harga KPDN Selangor di Pasaraya TF Value Mart, Batu Caves di sini hari ini.
Menurut Mohd Zuhairi, PJRM yang dijalankan sepanjang tahun ini merupakan sebahagian usaha kerajaan membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, sehingga 30 September lalu, sebanyak 2,419 Program Jualan Rahmah Madani telah dilaksanakan di seluruh Selangor dengan jumlah subsidi hampir RM15 juta.
“Kita mahu lebih ramai rakyat memanfaatkan peluang ini untuk membeli barangan asas pada harga berpatutan, terutama menjelang musim perayaan,” katanya.
Senarai penuh lokasi jualan boleh disemak melalui platform Facebook dan TikTok rasmi KPDN Selangor.
Aduan salah laku urus niaga boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline 1-800-886-800, atau portal e-aduan.kpdn.gov.my.








