ad

Lagi kes rogol dalam kelas, empat termasuk tiga pelajar ditahan

16 Okt 2025, 1:52 AM
Lagi kes rogol dalam kelas, empat termasuk tiga pelajar ditahan

SHAH ALAM, 16 OKT: Polis menahan empat individu termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di Baling, Kedah kerana disyaki terbabit dalam kes rogol secara berkumpulan serta menyebarkan rakaman lucah di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata polis menerima satu laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun kira-kira jam 11 pagi pada Ahad lalu, selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video bogel melibatkan anaknya.

Susulan itu, tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang lagi bekas pelajar sekolah sama, ditahan pada jam 9.30 malam pada hari sama untuk membantu siasatan, lapor portal Berita Harian.

"Hasil siasatan lanjut mendapati, empat suspek terbabit didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kelas sekolah berkenaan.

"Berikutan itu, semua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap dan merampas enam telefon bimbit untuk siasatan lanjut," katanya.

Ahmad Salimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak.

Katanya, polis memandang serius kejadian ini dan meminta orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga supaya memantau kegiatan dan pergerakan anak-anak terutamanya dalam kalangan remaja.