ad

JKR lakukan penilaian keselamatan struktur bangunan rosak akibat ribut di Sijangkang

15 Okt 2025, 3:31 PM
JKR lakukan penilaian keselamatan struktur bangunan rosak akibat ribut di Sijangkang
JKR lakukan penilaian keselamatan struktur bangunan rosak akibat ribut di Sijangkang
JKR lakukan penilaian keselamatan struktur bangunan rosak akibat ribut di Sijangkang

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Kuala Langat sedang menjalankan pemeriksaan struktur serta penilaian keselamatan terhadap beberapa bangunan awam yang rosak di Telok Panglima Garang, Selangor akibat dilanda ribut petang tadi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya antara premis terjejas apabila bumbungnya mengalami kerosakan dan JKR menasihati pihak sekolah agar menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan dapat dipastikan.

“Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Selangor juga sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian bangunan terjejas sebagai langkah awal mengelakkan kemalangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata blok baharu di bawah program Sekolah Berkepadatan Tinggi yang baru diserahkan turut mengalami kerosakan kecil pada penutup bumbung dan kontraktor diarahkan melaksanakan pembaikan segera.

“JKR sedang menyediakan anggaran kerja pembersihan serta perlindungan aset bagi mengelakkan kerosakan lebih serius. Saya telah mengarahkan agar semua tindakan dilaksanakan segera dengan sewajarnya,” katanya.

Nanta turut merakamkan simpati kepada mangsa insiden runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang di Dewan Wawasan Kampung Medan, Kuala Langat.

“Setakat ini, saya dimaklumkan seorang wanita cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan dan berjaya diselamatkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan.

“Beberapa murid turut dilaporkan cedera ringan apabila runtuhan berlaku di surau Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Beliau menasihati orang awam supaya menjauhi kawasan terjejas bagi mengelak kejadian tidak diingini serta menyeru semua pihak menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Terdahulu, seorang wanita berusia 51 tahun cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung Dewan Wawasan Kampung Medan yang turut menempatkan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, susulan ribut dan hujan lebat petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dilapor berkata bumbung sebuah premis bersebelahan dewan yang menempatkan surau Kafa turut runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan.

- BERNAMA