Sidang khas DNS Jun ini tunggu perkenan Sultan, tumpu pembentangan RS-2

25 Mei 2026, 11:21 AM
Sidang khas DNS Jun ini tunggu perkenan Sultan, tumpu pembentangan RS-2

KUALA SELANGOR, 25 MEI: Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka diadakan bulan depan bagi membincangkan hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan menjadi kerangka pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San berkata pihaknya kini menunggu perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum sidang berkenaan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata pejabat DNS telah menerima notis daripada pejabat Dato’ Menteri Besar berhubung cadangan sidang khas yang dijadual berlangsung pada 19, 22 dan 23 Jun depan.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San ketika sidang media selepas lawatan Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) ke Waste To Energy (WTE) Jeram, Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Saya telah menerima notis daripada pejabat Dato’ Menteri Besar untuk mengadakan sidang khas DNS yang dicadangkan berlangsung pada 19, 22 dan 23 Jun nanti.

“Pejabat dewan juga telah memaklumkan perkara ini kepada pejabat DYMM Sultan Selangor bagi mendapatkan perkenan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Loji Waste-to-Energy (WTE) Jeram 1 bersama Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS), hari ini.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) meninjau operasi di Loji Waste-to-Energy (WTE) Jeram, Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, sidang khas berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembentangan RS-2 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum dibahaskan Ahli Dewan Negeri.

“Sidang itu akan membincangkan RS-2 yang akan dibentangkan Menteri Besar dan perbahasan Ahli Dewan Negeri akan berkisar kepada perkara yang dibentangkan.

“Pastinya apa yang telah diusahakan dalam RS-1 akan disentuh dan diteruskan dalam RS-2,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan RS-2 yang dijangka dibentangkan Jun depan dirangka dengan mengambil kira cabaran semasa termasuk ketegangan geopolitik global, krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Beliau berkata pendekatan baharu yang lebih berdaya tahan dan adaptif diperlukan bagi memastikan Selangor terus kekal kompetitif serta mampan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, antara pendekatan yang diketengahkan dalam RS-2 ialah model pembangunan berorientasikan misi yang menjadi antara pendekatan utama pakar ekonomi terkenal, Mariana Mazzucato.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.