ad

Anfaal seru ibu bapa terap rasa hormat, toleransi pada anak-anak

15 Okt 2025, 1:00 PM
Anfaal seru ibu bapa terap rasa hormat, toleransi pada anak-anak

SHAH ALAM, 15 OKT: EXCO Kebajikan Masyarakat menegaskan tanggungjawab harus digalas sebaik mungkin dalam mendidik anak-anak supaya mereka mempunyai sikap menghormati dan bertoleransi dalam menjalani kehidupan harian.

Anfaal Saari menekankan supaya ibu bapa menerapkan nilai hidup bermasyarakat supaya anak-anak tidak bertindak agresif dan luar jangkaan sehingga terlibat kes jenayah seperti meragut nyawa insan lain.

"Masyarakat kita perlu ambil tanggungjawab bersama-sama untuk membawa kembali nilai-nilai dalam masyarakat terutama kepada anak-anak kita.

"Kita perlu didik anak-anak kita supaya saling menghormati dan bertoleransi sekiranya kehendak ataupun kemahuan tidak dipenuhi", ujarnya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau mengulas insiden yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama yang mengorbankan nyawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, pagi semalam.

Menurut beliau, kepelbagaian latar belakang menjadikan setiap pelajar berbeza daripada sudut pemikiran mahupun tindakan yang rasional.

Namun, jelasnya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak supaya meraikan perbezaan dalam kalangan masyarakat.

Wawancara EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 6 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tambah Anfal, hubungan yang erat antara ibu bapa dan anak-anak harus dipupuk sejak kecil supaya menjadi ruang yang selamat kepada mereka untuk berkongsi kisah hidup atau masalah yang dihadapi dengan selesa.

Beliau juga menyarankan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bekerjasama membantu menangani kesan trauma yang dialami pelajar di sekolah tersebut.

Dalam kes tikaman berlaku kira-kira jam 9.30 pagi semalam, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa mengikut mangsa berumur 16 tahun ke tandas perempuan sebelum menikamnya.

Mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.