SHAH ALAM, 26 NOV: Pelaksanaan 147 projek langkah segera (quickwin) oleh Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kesan banjir Monsun Timur Laut (MTL), khususnya di kawasan hotspot dan berisiko tinggi.
Projek berimpak tinggi itu melibatkan 127 lokasi yang sebelum ini kerap dilanda banjir, termasuk 40 kawasan dikenal pasti sebagai hotspot dan 87 kawasan berisiko, dengan peruntukan RM33.94 juta.
Daripada jumlah tersebut, 39 projek telah siap, 38 sedang berjalan dan 70 dalam proses perolehan yang dilaksanakan lebih awal bagi memastikan kawasan kritikal bersedia menghadapi musim hujan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan inisiatif ini membantu mengelakkan banjir lebih serius di lokasi yang sebelum ini sering terjejas seperti Klang dan Petaling.
"Bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan hotspot/ risiko banjir sementara projek mitigasi jangka panjang disiapkan, Kerajaan Negeri melalui JPS mengambil inisiatif melaksanakan sebanyak 147 kerja langkah segera (quickwin) tahun ini.
"Kerja-kerja quickwin yang telah siap banyak membantu mengurangkan impak banjir di 29 kawasan hotspot/risiko banjir khususnya di daerah Klang dan Petaling," menurut kenyataan JPS.
Selain itu, menurut JPS, Kerajaan Negeri juga menyalurkan RM14.1 juta bagi kerja pengukuhan tebing sungai, penyelenggaraan pantai dan rumah pam.
Manakala, Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM19.5 juta untuk pemulihan struktur sungai yang dijangka siap hujung November ini.
Secara keseluruhan, 74 kawasan hotspot telah dikenal pasti dan diberi keutamaan dalam pelan mitigasi.
Selari dengan itu, 79 projek mitigasi banjir jangka panjang turut dilaksanakan melibatkan 53 projek dibiayai Kerajaan Negeri bernilai RM828 juta dan 26 projek oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.46 bilion.
Antara projek besar ialah Mitigasi Sungai Klang di bawah Selangor Maritime Gateway (SMG) yang kini mencapai kemajuan 29.7 peratus dan dijangka siap pada 2026.
Dalam menghadapi musim tengkujuh, JPS turut memastikan semua aset seperti rumah pam, pintu air dan pasukan teknikal berada dalam keadaan siap siaga.
Orang awam disaran sentiasa berwaspada, terutama di kawasan rendah, serta mematuhi arahan keselamatan daripada pihak berkuasa.
Sebarang maklumat boleh dilaporkan ke hotline JPS Selangor di 03-5544 7376.





