ad

KPM: 200 sekolah berasrama dipasang CCTV, dijangka siap November ini

15 Okt 2025, 7:20 AM
KPM: 200 sekolah berasrama dipasang CCTV, dijangka siap November ini
KPM: 200 sekolah berasrama dipasang CCTV, dijangka siap November ini
KPM: 200 sekolah berasrama dipasang CCTV, dijangka siap November ini

KUALA NERUS, 15 OKT: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata projek itu, yang dilaksanakan sejak Ogos lalu membabitkan peruntukan RM3 juta, bertujuan memperkukuh aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama selain membendung insiden tidak diingini termasuk kes buli.

“Pemasangan ini melibatkan sekolah berasrama yang telah dikenal pasti berisiko tinggi termasuk yang mempunyai rekod kejadian buli dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Persaraan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pemasangan CCTV itu dilihat mampu membantu siasatan secara lebih menyeluruh kerana sebelum ini, banyak kes yang berlaku di kawasan sekolah dan asrama sukar dibuktikan.

Wan Hashim juga berkata penentuan jumlah dan lokasi pemasangan CCTV di setiap sekolah akan ditentukan mengikut keperluan dengan kerjasama pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan PDRM bagi mengelakkan sebarang pelanggaran privasi khususnya melibatkan pelajar serta guru.

“Setiap sekolah berbeza... jadi, ia dibuat mengikut kesesuaian sekolah berkenaan dan mungkin ada yang perlukan lapan unit kamera atau 10 unit, ikut kesesuaian…kita akan rujuk nasihat daripada CGSO untuk tentukan pasang (CCTV) dari segi sudut yang sesuai,” katanya.

- BERNAMA