SHAH ALAM, 14 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, pagi tadi.
Beliau yang terkejut dan sedih dengan kejadian itu turut mendoakan mereka tabah menghadapi dugaan ini dengan sokongan masyarakat sekeliling.
“Ramai anak-anak dari kawasan Bukit Lanjan bersekolah di sekolah menengah berhampiran lokasi kejadian. Saya memahami kegusaran dan kesedihan yang dirasai ibu bapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pua menyeru masyarakat agar bertenang serta memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa sebarang tekanan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan di media sosial kerana tindakan itu hanya akan menambah penderitaan keluarga mangsa serta komuniti sekolah terlibat.

“Dalam saat sukar ini, empati dan tanggungjawab sosial amat penting. Marilah kita bersama-sama membantu keluarga mangsa dan seluruh warga sekolah untuk menghadapi tempoh getir ini,” katanya.
Dalam masa sama, Pua menasihati ibu bapa dan guru supaya lebih peka terhadap keadaan emosi anak-anak dan rakan mangsa, serta memastikan mereka menerima bimbingan psikologi dan sokongan moral sewajarnya.
Beliau turut memberi jaminan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak polis dan komuniti tempatan bagi menyalurkan bantuan psikologi dan sokongan komuniti kepada mereka yang terkesan.
“Marilah kita berdiri teguh di sisi keluarga mangsa dan warga sekolah dalam melalui tempoh sukar ini, serta menjadikan tragedi ini titik muhasabah untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi tadi, mangsa dilaporkan ditikam di kawasan tandas sekolah. Suspek kemudian ditahan polis di lokasi dan dua bilah pisau turut dirampas.
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.