ad

SAUF 2025 pacu Shah Alam ke arah bandar raya mampan, inklusif

14 Okt 2025, 1:00 PM
SAUF 2025 pacu Shah Alam ke arah bandar raya mampan, inklusif
SAUF 2025 pacu Shah Alam ke arah bandar raya mampan, inklusif
SAUF 2025 pacu Shah Alam ke arah bandar raya mampan, inklusif
SAUF 2025 pacu Shah Alam ke arah bandar raya mampan, inklusif
SAUF 2025 pacu Shah Alam ke arah bandar raya mampan, inklusif

SHAH ALAM, 14 OKT: Program Shah Alam Urban Forum (SAUF) 2025 yang julung kali dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi platform penting menghimpunkan pelbagai pihak daripada sektor pembangunan, masyarakat, ekonomi dan teknologi bagi membincangkan masa depan bandar raya itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran forum berkenaan bersempena sambutan 25 tahun penubuhan MBSA bukan sekadar menonjolkan aktiviti berbentuk perarakan, tetapi turut memberi tumpuan kepada hala tuju jangka panjang pembangunan Shah Alam.

“Program ini membincangkan masa depan bandar dan melibatkan komuniti untuk sama-sama merangka pelan pembangunan bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang, agar Shah Alam terus menjadi bandar raya mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Shah Alam Urban di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Tambah beliau, aspek Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) turut menjadi teras kepada usaha MBSA membina bandar rendah karbon dan masyarakat sifar karbon.

“Cabaran pembangunan mampan ini terus diberi penekanan, seiring dengan konsep pembangunan bandar sedunia sebagaimana yang sering dibincangkan dalam World Urban Forum.

"Antara tumpuan ialah menuju ke arah masyarakat sifar karbon, mengekalkan keharmonian dan memastikan penyertaan masyarakat dalam pembangunan bandar,” jelasnya.

Bertemakan “Bandar Kita, Komuniti Kita”, program dua hari itu diharap dapat menjadikan Shah Alam sebagai model rujukan kepada bandar raya lain dalam melaksanakan pembangunan mampan serta berdaya huni.

Dianggarkan 2,000 peserta menyertai program itu yang menampilkan pelbagai pengisian termasuk Sesi Dialog Pandangan Tempatan bagi membincangkan isu dan cabaran tempatan, pembangunan bandar mampan, peningkatan kualiti hidup komuniti serta pemerkasaan masyarakat melalui pendekatan digital dan inovasi.

Forum itu turut menampilkan sesi Strategi Bandar, yang memberi fokus terhadap kerjasama antara kerajaan tempatan, sektor swasta dan komuniti dalam merealisasikan pembangunan Shah Alam sebagai bandar raya hijau dan inklusif menjelang 2050.