ad

KPM tubuh jawatankuasa khas siasat kes pelajar perempuan maut ditikam di sekolah

14 Okt 2025, 9:00 AM
KPM tubuh jawatankuasa khas siasat kes pelajar perempuan maut ditikam di sekolah

PUTRAJAYA, 14 OKT: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan semua aspek berkaitan kes kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang disyaki ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya hari ini, dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kes berkenaan dalam siasatan pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama penuh dalam proses siasatan yang sedang berjalan.

“Suspek telah ditahan polis. KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia kerana ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada hari ini.

“Semoga keluarga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah terbabit.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pagi tadi.

Khalid berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tikam itu.

- BERNAMA