ad

Yayasan MBI santuni penghuni Penjara Kajang, sumbang lampin pakai buang dewasa

14 Okt 2025, 8:22 AM
Yayasan MBI santuni penghuni Penjara Kajang, sumbang lampin pakai buang dewasa
Yayasan MBI santuni penghuni Penjara Kajang, sumbang lampin pakai buang dewasa
Yayasan MBI santuni penghuni Penjara Kajang, sumbang lampin pakai buang dewasa

HULU LANGAT, 14 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang lampin pakai buang dewasa bernilai RM5,000 untuk kegunaan prospek Penjara Kajang.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata penyerahan 189 pek lampin pakai buang itu untuk penghuni yang mengalami masalah kesihatan dan memerlukan penggunaan keperluan itu.

“Hari ini kita menyerahkan sumbangan lampin (pakai buang) dewasa kepada penghuni di penjara ini yang ada masalah kesihatan dan memerlukan mereka menggunakan lampin dewasa.

“Ini merupakan program pertama sumpama ini bersama dengan Penjara Kajang. Sebelum ini sumbangan lembu korban kita pernah buat, tapi ini kali pertama kita buat sumbangan lampin dewasa untuk penghuni di sini.

“Saya dimaklumkan ada doktor di sini cari dana (untuk keperluan lampin pakai buang). Hari ini kita serahkan sumbangan ini lebih 150 pek dan jumlahnya hampir RM5,000,” katanya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media ketika program sumbangan lampin pakai buang di Penjara Kajang pada 14 Oktober 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas menyempurnakan serahan sumbangan kepada Pengarah Penjara Kajang Timbalan Komisioner Penjara Mohd Sharin Sabtu di Penjara Kajang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Azri bantuan itu membuktikan inisiatif kebajikan Selangor merangkumi semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang termasuk mereka yang sedang menjalani hukuman di penjara.

“Kita tidak terhad. Seperti kata Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) tiada siapa yang tertinggal. Walaupun mereka berada di dalam (penjara), mereka dihukum atas kesalahan mereka tetapi hak asasi mereka sebagai manusia, kita kena teladani dan santuni.

“Kalau ada permintaan, kita akan bantu walaupun mereka dalam penjara tapi mereka juga manusia yang memerlukan sumbangan tertentu seperti ini dan kita akan bekerjasama rapat dengan pihak penjara,” katanya.

Sebelum ini Ahmad Azri berkata Yayasan MBI memperuntuk pelbagai bantuan termasuk lebih RM1 juta setahun bagi bantuan bencana termasuk ribut, kebakaran dan banjir.