Oleh Dewi Abdul Rahman
KUALA SELANGOR, 30 JULAI: Penglibatan pelajar dalam pasukan badan beruniform mampu melahirkan generasi kalis cabaran, sekali gus menyumbang kepada kesiapsiagaan negara pada masa hadapan.
Dato’ Menteri Besar berkata pendedahan yang diterima dalam pasukan beruniform memberikan nilai tambah penting daripada segi disiplin, tanggungjawab serta kecekapan bertindak dalam situasi mencabar.
“Alhamdulillah, saya ingatkan tentang kesiapsiagaan rakyat dan melalui latihan di badan beruniform ini, mereka dilatih untuk sentiasa bersedia pada setiap masa.
“Ini mungkin boleh membantu negara pada masa depan jika berdepan dengan sebarang keadaan, paling tidak untuk situasi peribadi mereka dan keluarga pada waktu yang genting,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato’ Menteri Besar Selangor di Universiti Selangor (Unisel), di sini, semalam.
[caption id="attachment_713016" align="alignnone" width="840"] Peserta melafazkan ikrar dalam Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawad Kaki Beruniform Piala Dato' Menteri Besar Selangor di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 29 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELNGOR[/caption]
Tambah Amirudin, pertandingan kawad kaki yang kini memasuki edisi kedua penganjuran, bakal dijadikan acara tahunan sebagai usaha menyemai nilai kesiapsiagaan dan kepimpinan sejak di bangku sekolah.
"Saya percaya kita sedang menyediakan satu lapisan kepimpinan, lapisan masyarakat dan komuniti masa depan yang mampu menyerap, menyesuaikan diri, bertindak dan berdepan pelbagai cabaran semasa.
"Generasi hari ini sedang menyiapkan satu landasan yang tepat bagi kita berdepan cabaran dan meneruskan kemajuan yang kita bangun. Sebab itu saya sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti pasukan beruniform.
"Insya-Allah, ia boleh dijadikan acara tahunan, khususnya dalam kalangan anggota badan beruniform ataupun peserta anak-anak kita yang terlibat dengan pasukan beruniform," katanya.
Pertandingan kali ini menyaksikan penyertaan lebih 6,000 pelajar dari 90 sekolah rendah dan menengah seluruh Selangor.