SHAH ALAM, 14 OKT: Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan peringkat negeri dijadual berlangsung bulan hadapan, dengan forum berkaitan lelaki jadi tumpuan.
Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari, sambutan pada kali ini melibatkan pelbagai agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan dan wakil-wakil rakyat supaya ada perubahan atau anjakan paradigma berkaitan institusi kekeluargaan.
“Kali ini kita libatkan pelbagai pihak dan sambutan dijangka diadakan pada minggu kedua November dengan bertemakan KASIH Keluarga Bahagia Bersama.
“Selangor mengambil inisiatif tambahan dengan mengadakan forum berkaitan lelaki tonggak kepimpinan keluarga dan juga pendidikan seks yang komprehensif susulan timbulnya pelbagai isu antaranya buli dan terbaharu rogol.
“Sosok bapa dalam sesebuah keluarga itu penting dalam memimpin dan membimbing anak-anak selain remaja perlu dididik berkenaan bagaimana sentuhan selamat, perubahan hormon dan kesan sekiranya melakukan seks bebas,” katanya kepada Media Selangor.
November diisytiharkan sebagai sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan sejak 2012 bertujuan menggalakkan penglibatan semua pihak untuk untuk mengukuhkan institusi keluarga dalam sosioekonomi negara.
Acara tahunan yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).