ad

EXCO: Seni, muzik pemangkin ekonomi kreatif dan usahawan belia Selangor

14 Okt 2025, 2:34 AM
EXCO: Seni, muzik pemangkin ekonomi kreatif dan usahawan belia Selangor
EXCO: Seni, muzik pemangkin ekonomi kreatif dan usahawan belia Selangor

SHAH ALAM, 14 Okt: Bidang seni dan muzik bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kreatif serta keusahawanan belia di Selangor.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, penganjuran Selangor Art’s Entrepreneurship Programme (STEP 2025) membuktikan seni dan muzik berpotensi besar membina daya saing usahawan muda selain mengangkat Selangor sebagai pusat rujukan bakat dan keusahawanan belia di negara ini.

“STEP 2025 bukan sekadar acara seni, tetapi wahana strategik untuk memperlihatkan bahawa bidang seni dan muzik boleh menjadi pemangkin ekonomi kreatif, membina daya saing usahawan muda, dan mengangkat Selangor sebagai pusat rujukan bakat serta keusahawanan belia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Program berkenaan akan diadakan pada 25 Oktober 2025 di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung dan akan menampilkan artis terkenal seperti Man Kidal, Dato’ Ramli MS, Edrie Hashim, dan Qi Razali, selain memberi ruang kepada belia berkongsi ilmu, mempamer hasil karya serta membina jaringan dalam industri seni dan muzik.

Mohd Najwan turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa bakat muda melalui pelbagai inisiatif dan sokongan kewangan agar industri seni di Selangor berkembang secara mampan serta menyumbang kepada ekonomi negeri.

Bulan lalu, Najwan mengumumkan yang Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang memfokuskan teras multimedia, warisan dan seni budaya akan dilancarkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS), November ini.