PETALING JAYA, 18 OKT: Selangor akan memberi tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan berasaskan ekonomi kreatif secara lebih meluas sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, kata EXCO keusahawanan.
Mohd Najwan Halimi berkata pihak berkuasa tempatan di Selangor antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merupakan antara pihak yang proaktif memperkukuh ekosistem itu melalui pelbagai program dan jaringan bersama usahawan tempatan.
“Selangor selepas ini akan cuba meneroka bidang keusahawanan yang sebelum ini mungkin kita tidak nampak kekuatannya. Insya-Allah saya yakin MBPJ selepas ini akan membantu sebab kita mahu teroka sektor ekonomi kreatif secara lebih menyeluruh dan meluas.
“Seperti di Bandung (Indonesia) contohnya, usaha-usaha kreatif ini dibangunkan sehingga mendapat pengiktirafan Unesco sebagai Kota Kreatif. Jadi kita mahu tengok selepas ini kalau boleh Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang mampan dan bahagia menerokai dan menerajui usaha ini,” katanya.
Beliau berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2025 di sini, semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling 2021-2030 (Versi 2.0), sebagai panduan utama memperkukuh komuniti usahawan bandar ke kelestarian dan daya saing jangka panjang dengan memperkenalkan pendekatan berimpak tinggi, moden dan berteraskan teknologi digital, selaras dengan perubahan ekonomi semasa.
Menurut Mohd Najwan usaha dilaksana MBPJ dalam memperkasa ekosistem keusahawanan mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan dan kompetitif.
“Ini satu pencapaian yang luar biasa di peringkat MBPJ khususnya. Jadi kena cari kaedah bagaimana untuk mengekalkan dan mengintegrasi hubungan erat antara kesemua usahawan ini untuk membentuk ekosistem keusahawanan yang pelbagai termasuklah berkaitan ekonomi kreatif atau yang dipanggil ekonomi jingga,” katanya.
Sebelum ini Mohd Najwan berkata Selangor disasar sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM20 bilion menjelang 2035.
Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang memfokuskan teras multimedia, warisan dan seni budaya dijangka dilancar sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung November ini.
Beliau turut menjangkakan pelan terbabit menerima peruntukan sewajarnya pada Belanjawan Selangor 2026 bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi jingga selama 10 tahun berjalan lancar.




