SHAH ALAM, 14 OKT: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza menjadi pengalaman istimewa apabila seorang veteran tentera Amerika Syarikat (AS) menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.
Hasrat itu dinyatakan setelah merasai sendiri ketenangan dan keindahan ajaran Islam sepanjang pelayaran itu, menurut Haikal Abdullah, salah seorang aktivis Malaysia yang menyertai misi berkenaan.
Lelaki yang dikenali sebagai Winfield, yang pernah menganut Kristian dan kemudian mengamalkan fahaman ateis, mula menunjukkan minat terhadap Islam selepas melihat peserta Muslim menunaikan solat dan berbicara mengenai makna ketenangan serta keimanan.
"Winfield sangat teruja dengan keperibadian rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai ‘chill’ dan ‘cool’.
"Dia kata, orang Malaysia ada sesuatu yang tak ada pada bangsa lain, satu ketenangan yang membuatkan dia rasa selesa. Bila berbual dengan saya, tekanan di atas kapal pun hilang.
"Saya beritahu dia, ketenangan itu datang daripada Tuhan saya, Allah SWT, sebab saya seorang Islam dan saya percaya kepada-Nya.
"Dari situ dia mula tertarik dan mahu tahu lebih banyak tentang Islam," katanya ketika pelayaran, ketika dihubungi Media Selangor.

Perincikan maksud Allahu Akbar
Sepanjang misi di atas kapal Sirius, sementara Winfield mengajar Haikal kerja pendawaian dan penyelenggaraan kapal, Haikal pula berkongsi asas kepercayaan dalam Islam.
"Saya ajar dia mengangkat takbir dan jelaskan maksud Allahu Akbar, iaitu Allah Maha Besar melebihi segala yang ada di alam semesta.
"Saya kata, bayangkan kita ini sekecil kuman, sedangkan ciptaan Allah melangkaui galaksi yang tak mampu kita capai.
"Pengetahuan manusia terbatas, dan di situlah Allah mahu kita terus belajar dan mencari hikmah ciptaan-Nya. Winfield terpegun dan anggap penjelasan itu satu falsafah hidup yang mendalam.
"Sebelum berpisah, dia kata kalau berjaya pulang ke Amerika, dia akan cari wakil Islam di sana dan mengucap dua kalimah syahadah. Tapi sampai hari ini, saya tak pasti bagaimana keadaannya," katanya lagi.

Tentera zionis hina Malaysia
Bagi Haikal, pengalaman itu membuktikan perjuangan membantu Palestin bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi juga medan dakwah untuk menyebarkan keindahan Islam kepada dunia.
Haikal turut berkongsi pengalaman getir ketika ditahan dan disoal siasat tentera Israel selepas kapal mereka dipintas.
Beliau mendakwa tentera zionis itu menghina Malaysia dalam bahasa Hebrew, selain memijak dan meludah makanan serta memaksa tahanan minum air dari paip tandas.
"Mereka tahu saya boleh berbahasa Hebrew. Ketika sesi soal siasat, salah seorang daripada mereka hina Malaysia dengan sebut ‘Malaysia anjing’.
"Secara spontan saya balas, ‘Malaysia is not a dog’. Lepas saya jawab begitu, layanan mereka terus berubah, mereka mula syak saya ni pengintip," katanya.

Israel beri makanan diludah
Menurut Haikal, layanan tentera Israel terhadap tahanan amat tidak berperikemanusiaan.
"Kami berada dalam keadaan lemah dan dehidrasi. Air pula dari paip tandas, tiada air botol mineral manakala makanan diberi ala kadar, malah ada yang dipijak dan diludah.
"Terus terang saya katakan, kami dilayan seperti binatang. Setiap 30 minit, pegawai penjara akan buat bising dan memanggil tahanan semata-mata untuk ganggu tidur dan tekan mental kami," ujarnya.
Haikal turut mengalami kecederaan selepas ditendang di bahagian pinggang dan dipijak di tangan hingga retak, memaksanya mendapatkan rawatan di hospital sebaik tiba di Turki.
"Layanan kali ini sangat berbeza berbanding peserta flotilla sebelum ini. Mereka lebih kasar dan ganas.
"Kali ini mereka berani buat kekerasan fizikal, tarik rambut, tampar belakang kepala, tepuk dada, dan tendang di pinggang. Saya sendiri dipijak di tangan hingga retak," katanya.
Haikal menambah, pelayaran itu menjadi bukti perjuangan kemanusiaan menuntut ketahanan fizikal dan mental, selain menyeru perjuangan membela Palestin diteruskan melalui ilmu, politik dan kekuatan berkiblatkan kebenaran.