SEPANG, 25 MEI: Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 mencetuskan gelombang solidariti antarabangsa apabila berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dari seluruh dunia bagi membantah sekatan terhadap Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) berkata misi itu berjaya menghimpunkan ahli parlimen, pengamal media, doktor, peguam serta 422 aktivis daripada lebih 40 negara bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan menentang sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza.
Jelas Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby daripada lebih 40 negara, 22 negara adalah negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan 19 negara merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Misi ini berjaya. Misi ini menang. Kita doakan agar kita sentiasa berada di pihak sejarah yang membela Gaza.
“Misi kemanusiaan ini bukan sahaja mengangkat suara rakyat dunia untuk Gaza, malah mendedahkan jenayah serta pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis Solidariti Kepulangan Aktivis Kemanusiaan GSF 2.0 di sini, malam tadi.
Menurutnya, pelbagai rakaman langsung dan dokumentasi visual sepanjang misi itu turut membuka mata masyarakat dunia terhadap tindakan serangan, penculikan dan rampasan bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa.
Katanya, insiden pintasan terhadap flotila kemanusiaan berkenaan turut mencetuskan tekanan geopolitik apabila beberapa negara termasuk Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal dan Malaysia tampil mengecam tindakan Israel.
Selain itu, organisasi antarabangsa seperti Organisation of Islamic Cooperation (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan EU turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan Israel menahan serta menyerang aktivis kemanusiaan.
“Gelombang kebangkitan dunia terhadap insiden ini bukan sekadar terhad kepada kecaman.
“Ia turut disusuli tekanan diplomatik, ancaman sekatan ekonomi, tindakan perundangan, nota bantahan rasmi serta demonstrasi besar-besaran di pelbagai negara,” katanya.
Beliau berkata SNCC kini menggerakkan Sumud Protocol fasa satu sebagai tindakan susulan pasca GSF 2.0 bagi memperkukuh tekanan antarabangsa terhadap Israel dan memperluas solidariti global terhadap Palestin.

Sementara itu, Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata GSF 2.0 tidak pernah gagal, sebaliknya berjaya meruntuhkan propaganda yang menjadi kekuatan rejim Zionis.
Katanya, beberapa perkembangan selepas misi itu membuktikan solidariti antarabangsa terhadap Palestin semakin berkembang dan memberi tekanan kepada Israel.
“Selepas insiden pintasan pada 29 April lalu, kandungan berkaitan GSF merekodkan lebih 1.5 bilion capaian serta interaksi di media sosial, tidak termasuk capaian Sumud Nusantara.
“Dalam tempoh 10 hari selepas insiden itu, lebih 20,000 artikel berkaitan Gaza dan GSF diterbitkan di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata perbincangan mengenai Palestin di platform digital turut meningkat sebanyak 537 peratus dengan 60 negara membicarakan mengenai misi berkenaan, manakala 94 peratus liputan media disifatkan positif.
Menurutnya, sebanyak 12 negara turut mengecam tindakan Israel yang didakwa mencabuli hak pelayaran selamat di perairan antarabangsa.
Katanya, seramai 81 ahli Parlimen EU turut menandatangani sokongan kepada GSF termasuk menuntut pembebasan aktivis yang ditahan, selain Deklarasi Brussels menerima lebih 1,000 tandatangan ahli parlimen dunia sebagai solidariti terhadap Palestin.
“Misi itu juga berjaya menghimpunkan 428 peserta dari pelbagai negara yang menaiki 50 kapal sempena ulang tahun Nakba pada 15 Mei lalu.
“Ketika ini kira-kira 200 peserta masih terlibat dalam Sumud Land Convoy di timur Libya dan berdepan sekatan pihak berkuasa tempatan, manakala We Rise Asia Convoy akan diteruskan selepas ini. GSF 3.0 pula dijangka diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.











