SEPANG, 25 MEI: Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman rejim Israel ke atas aktivis kemanusiaan negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk dakwaan penculikan, serangan fizikal dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha membawa isu itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang giat digerakkan, selain meneruskan tekanan diplomatik bagi mempertahankan hak serta keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
Amirudin yang juga Ketua Delegasi GSF 2.0 berkata pasukan peguam kini sedang mengumpul segala maklumat dan dokumen berkaitan dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap delegasi Malaysia sepanjang misi berkenaan.
“Kita wajar berbangga sebagai rakyat Malaysia kerana ada puluhan warga tempatan daripada pelbagai kaum dan latar belakang sanggup mengorbankan masa, tenaga serta nyawa demi misi kemanusiaan ini. Tekanan yang mereka hadapi kali ini bukan sesuatu yang mudah. Mereka diculik bukan sekali, tetapi dua kali. Mereka juga diseksa.
“Bukan sahaja berdepan tekanan psikologi dan ancaman ketakutan daripada rejim Zionis, malah mereka turut menerima serangan fizikal. Insya-Allah, Malaysia tidak akan berdiam diri, Parlimen juga tidak akan berdiam diri. Rakyat Malaysia perlu bangkit kerana tindakan itu bukan sahaja menyentuh rakyat kita, malah mencabul kedaulatan negara.
“Kita akan bawa usul ini ke Parlimen. Saya yakin kita akan mendapat sokongan penuh daripada seluruh Ahli Parlimen. Malaysia menjadi antara negara yang menunjukkan sokongan paling padu tanpa mengira latar belakang politik demi rakyat Gaza dan Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Solidariti Kepulangan Aktivis Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi.

Terdahulu, Amirudin menyambut kepulangan 28 aktivis Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan berkenaan.
Beliau berkata walaupun misi GSF 2.0 telah berakhir, perjuangan membebaskan Gaza akan diteruskan menerusi pelbagai platform termasuk persidangan antarabangsa, jelajah penerangan dan gerakan solidariti di seluruh negara.
Katanya, Malaysia juga akan terus memainkan peranan aktif dalam memecahkan “kesunyian dunia” terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, selain menegaskan solidariti rakyat negara ini terhadap Palestin kekal utuh tanpa mengira kaum atau fahaman politik.
“Saya yakin dengan kekuatan dan kecekalan kita hari ini, Malaysia bukan sekadar berbangga apabila berhimpun dan melaungkan ‘Free Palestine’, tetapi turut membuktikan rakyatnya sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi kemanusiaan.
“Isu kemanusiaan terbesar abad ini ialah membebaskan Gaza dan menghentikan kekejaman Zionis yang telah berlarutan sejak puluhan tahun,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin menyifatkan penahanan 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 sebagai satu “penculikan” oleh rejim Zionis.
Menurut beliau, kumpulan aktivis terbabit turut berdepan tekanan serta penderaan fizikal ketika ditahan di perairan antarabangsa sebelum dibebaskan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata delegasi Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Turkiye bagi mendapatkan laporan perubatan susulan dakwaan terdapat tahanan dipukul dan mengalami kecederaan.
Beliau berkata seorang aktivis Malaysia, Razman Mat Ali, perlu meneruskan rawatan selama kira-kira dua minggu lagi di Istanbul, Turkiye selepas disahkan mengalami ‘traumatic pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat dipukul tentera Israel dan kini dilaporkan stabil.











