ad

JPJ tahan ‘ulat’ tawar perkhidmatan teksi haram di KLIA

13 Okt 2025, 12:30 AM
JPJ tahan ‘ulat’ tawar perkhidmatan teksi haram di KLIA

SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang individu disyaki menjalankan aktiviti ‘ulat’ atau menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

JPJ Selangor dalam kenyataan di Facebook memaklumkan tangkapan pada 10 Oktober lalu dibuat hasil intipan dan pemantauan oleh Stesen Penguat Kuasa KLIA. Sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bersama pemandunya turut disita untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang warga tempatan dari Terminal 1 KLIA ke Semenyih dengan tambang RM100, yang akan dibayar apabila tiba di destinasi," kata agensi itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka yang bersubahat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta sama.

JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau menempah melalui aplikasi e-hailing berdaftar.

Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan@JPJ dengan menyertakan butiran pengadu dan maklumat kejadian.