SHAH ALAM, 8 DIS: Stesen Penguatkuasa KLIA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang ‘ulat teksi’ di Terminal 2 KLIA selepas dikesan menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen kepada penumpang.
JPJ Selangor dalam kenyataan berkata, siasatan awal mendapati suspek memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang dari Terminal 2 ke Terminal 1 KLIA dengan tambang RM60.
"Tindakan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Mereka yang bersubahat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta sama," katanya.
Orang awam disaran menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau menerusi aplikasi p-panggilan.
Sebarang aduan trafik boleh dikemukakan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my
atau aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu.


