REMBAU, 12 OKT: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menyertai misi kemanusiaan ke Gaza supaya berkoordinasi dengan Kementerian Luar terlebih dahulu bagi memastikan penghantaran bantuan berjalan lancar dan selamat.
Beliau berkata Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Mesir dan Jordan sekali gus memudahkan urusan penghantaran bantuan melalui lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir serta lintasan Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan.
“Bagi NGO atau individu yang mempunyai semangat tinggi untuk membantu rakyat Gaza yang tertindas, saya ucapkan terima kasih. Namun, jika nak hantar bantuan, elok kita buat gabungan dan bukan “bersepah-sepah” atau secara individu.
“Pastikan mereka (NGO) memberitahu Wisma Putra (Kementerian Luar) dan kemudian kita boleh maklumkan pada Mesir dan Jordan bahawa ada NGO atau operasi penghantaran bekalan makanan dan sebagainya ke Gaza. Ini akan memudahkan urusan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pelajaran dan Deepavali kepada lebih 1,000 penerima di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa terdapat beberapa NGO Malaysia telah lama beroperasi di rantau ini termasuk Sumud Nusantara yang mempunyai gudang simpanan bantuan di Mesir dan aktif menyalurkan makanan ke Gaza sebelum penutupan lintasan sempadan Rafah.
Mengenai pelan damai Gaza, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Malaysia menyambut baik keputusan Hamas yang bersetuju dengan cadangan itu sambil menyifatkan ia “tingkap kecil” bagi penyaluran bantuan kemanusiaan meskipun 20 perkara dibentangkan lebih berpihak kepada Israel.
“Jika Hamas tidak terima cadangan itu, saya nampak tidak ada peluang lagi untuk rakyat Gaza mendapat bantuan antarabangsa, mereka akan diganyang berterusan dan besar kemungkinan akan dihalau keluar dari Gaza,” katanya.
Mohamad berkata Malaysia akan terus mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya segera mengadakan sidang tergempar bagi memastikan penubuhan Palestin yang merdeka dilaksanakan berdasarkan resolusi yang disahkan secara rasmi oleh Majlis Keselamatan PBB.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas telah mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh AS.
- BERNAMA