RoS tegaskan tidak pernah lulus pendaftaran NGO Rohingya

10 Nov 2026, 6:53 AM
RoS tegaskan tidak pernah lulus pendaftaran NGO Rohingya

SHAH ALAM, 10 NOV: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menegaskan pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang pendaftaran pertubuhan Rohingya sebagai NGO di Malaysia.

RoS memaklumkan bahawa setiap permohonan pendaftaran pertubuhan akan diteliti dan dinilai oleh Pendaftar Pertubuhan, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

"Pemenuhan syarat asas permohonan tidak bermakna sesuatu pertubuhan akan mendapat kelulusan pendaftaran secara automatik.

"Sebaliknya, setiap permohonan tertakluk kepada proses penelitian dan pertimbangan Pendaftar Pertubuhan, sebelum keputusan dibuat," menurut kenyataan di Facebook.

RoS turut menjelaskan syarat asas pendaftaran pertubuhan ialah mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli, perlembagaan pertubuhan yang lengkap, pemegang jawatan yang sah serta permohonan lengkap menerusi sistem eROSES.

"Proses pendaftaran bermula dengan pengemukaan permohonan melalui sistem berkenaan, diikuti semakan dokumen dan maklumat, sebelum dinilai berdasarkan peruntukan Akta 832. Keputusan kelulusan pendaftaran kemudiannya dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan," menurut kenyataan itu.

RoS turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Permohonan pendaftaran pertubuhan boleh dikemukakan menerusi sistem eROSES di www.eroses.gov.my.

Baru-baru ini, seorang pengguna aplikasi Threads menerusi akaun x_.tw9, membangkitkan isu status Rohingya Society Malaysia (RSM) yang didakwa tidak sah, selain mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan polis terhadap pertubuhan itu pada 2020.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.