MBDK bina pusat pemandulan anjing Pulau Indah tahun depan

28 Sep 2026, 6:00 AM
MBDK bina pusat pemandulan anjing Pulau Indah tahun depan
MBDK bina pusat pemandulan anjing Pulau Indah tahun depan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pusat Penempatan dan Pemandulan Anjing yang dirancang Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Pulau Indah dijangka mula dibina pada separuh pertama tahun depan.

Ahli Majlis MBDK Ngian Yoke Mooi berkata pelan bangunan kini dalam peringkat akhir sebelum dikemukakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bakal mengendalikan pusat berkenaan.

Katanya, cadangan penambahbaikan daripada NGO akan diteliti sebelum projek memasuki proses tender.

“MBDK sudah menyediakan peruntukan pembinaan. Selepas proses tender selesai, kerja pembinaan boleh dimulakan dan dijangka bermula pada separuh pertama tahun depan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, pusat seluas 2.5 hektar itu akan menggunakan pendekatan tangkap, mandul, lepas dan adopsi (TNR).

Antara kemudahan dirancang ialah ruang pergerakan haiwan, kawasan kuarantin dan bilik pembedahan untuk prosedur pemandulan.

“NGO yang mengendalikan pusat itu akan mendapatkan khidmat doktor veterinar khusus untuk menjalankan pemandulan terhadap anjing terbiar yang ditangkap,” katanya.

Yoke Mooi berkata pusat penempatan sedia ada di Pelabuhan Klang akan terus digunakan selepas pusat baharu siap bagi meningkatkan keupayaan pengurusan anjing terbiar.

Beliau berkata MBDK menerima 1,594 aduan berkaitan anjing terbiar dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,141 anjing dan 18 kucing diberi vaksin, manakala 2,220 lesen anjing dikeluarkan berbanding 2,139 lesen bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, MBDK kini mempunyai dua pasukan penangkap anjing, manakala satu lagi pasukan dijangka ditambah oleh NGO apabila pusat baharu mula beroperasi.

Katanya, kaedah tangkapan akan mengikut garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Populasi anjing terbiar membiak dengan cepat dan ada kawasan komuniti yang mempunyai kumpulan 20 hingga 30 ekor.

“Pusat sedia ada pula sudah usang, jadi kemudahan baharu diperlukan untuk pengurusan yang lebih berkesan,” katanya.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain sebelum ini dilaporkan berkata projek berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira RM1 juta.

Pusat itu akan menempatkan anjing terbiar atau terbuang, menjalankan program pemandulan bagi mengawal populasi serta menggalakkan pengambilan haiwan angkat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.