ad

MB: Kuasai bahasa Melayu tanda kecintaan dan kesetiaan kepada negara

12 Okt 2025, 11:00 AM
MB: Kuasai bahasa Melayu tanda kecintaan dan kesetiaan kepada negara

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya dilihat sekadar alat komunikasi semata-mata, sebaliknya keupayaan menguasainya turut mencerminkan kesetiaan seseorang kepada negara serta kefahaman terhadap nilai dan jati diri tempatan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan penguasaan bahasa kebangsaan sentiasa menjadi perkara yang diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat serta membentuk jati diri bangsa Malaysia.

“Atas sebab itu, beberapa hari lepas, ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen beliau supaya penggunaan bahasa Melayu diperkukuhkan.

“Beliau turut menegur kebiasaan sekolah antarabangsa di Malaysia yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana ini sedikit sebanyak mengganggu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang khusus meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Amirudin berkata penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan pada masa ini masih relevan dan wajar diteruskan sebagai wahana untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa serta memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Beliau turut berpendapat bahasa Melayu wajar diperkasa melalui sektor ekonomi dan industri kreatif seperti bidang muzik, filem, sastera dan animasi tempatan bagi menjadikannya sebagai kuasa lembut yang memperkenalkan Malaysia di persada dunia.

Amirudin pada sidang media kemudiannya berkata bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan, Kerajaan Negeri sentiasa mematuhi Akta 32 dalam semua urusan rasmi termasuk berhubung penamaan tempat, jalan dan papan tanda awam.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan aluannya berkata bahasa Melayu perlu dijaga sebagai lambang maruah dan jati diri negara, meskipun dunia kini berdepan pengaruh pelbagai bahasa antarabangsa yang membuka pintu kepada diplomasi, sains dan perniagaan.

“Perlu ingat kekuatan sesuatu bangsa bergantung pada keupayaannya mempertahankan bahasanya sendiri tanpa menolak keperluan menguasai bahasa lain, dan pada masa sama mampu berkomunikasi dengan dunia luar,” katanya.

- BERNAMA