ad

Wira dan wirawati Gaza dihargai, PM sumbang telefon bimbit baharu

12 Okt 2025, 9:48 AM
Wira dan wirawati Gaza dihargai, PM sumbang telefon bimbit baharu

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebagai tanda penghargaan kepada sembilan sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada mereka yang terbabit.

Mereka menerima sumbangan tersebut sejurus selepas sidang media yang dipengerusikan Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dato' Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.

Pemberian khas itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada semua sukarelawan GSF dan FFC yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.

Sembilan aktivis tersebut selamat tiba di tanah air dengan menaiki pesawat komersial pada jam 4.01 petang.

Sebelum ini, kapal pelayaran yang dinaiki mereka dipintas tentera Israel setelah berada pada jarak 120 batu nautika dari Gaza 8 Oktober lalu.

Mereka turut ditahan di penjara Ketziot selama dua hari selepas dibawa ke pelabuhan Ashdod.