ad

Gelombang ketiga flotila kemanusiaan teruskan pelayaran pecah sekatan Israel

2 Okt 2025, 11:38 AM
Gelombang ketiga flotila kemanusiaan teruskan pelayaran pecah sekatan Israel
Gelombang ketiga flotila kemanusiaan teruskan pelayaran pecah sekatan Israel

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Gelombang ketiga flotila kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kini sedang menuju ke Gaza dalam usaha memecah sekatan haram Israel, kata salah seorang aktivis, Prof Dr Mohd Afandi Salleh.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini berada di atas kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali membawa aktivis dan kru, termasuk pakar perubatan serta wartawan antarabangsa dari lebih 20 negara.

“Misi kapal ini seperti biasa adalah untuk memecah masuk kepungan yang dibuat Israel. Selain itu, kami juga membawa ubat-ubatan, makanan bayi, dan flotila ini melibatkan lebih 20 doktor serta lebih 20 wartawan antarabangsa bagi memberi liputan meluas mengenai misi kali ini,” katanya semasa penstriman langsung bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan, menerusi aplikasi TikTok hari ini.

Beliau berkata delegasi Malaysia terdiri daripada sembilan aktivis, termasuk empat doktor perubatan dan seorang wartawan, menjadikan Malaysia antara peserta terbesar kumpulan itu selepas Turkiye dalam misi flotilla ini.

Sebelum ini, tiga kapal FFC pernah dihalang oleh rejim Zionis daripada belayar ke Gaza termasuk kapal Conscience yang dibom menggunakan dron berhampiran perairan Malta pada Mei lalu, manakala kapal Madleen dan Handala dipintas tentera rejim masing-masing pada Jun dan Julai.

Mohd Afandi yang pernah ditahan tentera Israel pada 2018, menegaskan tindakan rejim itu menyerang atau menahan kapal flotila di laut antarabangsa jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Israel sebenarnya akan langgar apa sahaja undang-undang termasuk undang-undang antarabangsa. Dalam pengalaman saya pada 2018, kami ditahan pada jarak 47 batu nautika daripada pantai Gaza walaupun berada di laut antarabangsa,” katanya.

Gelombang ketiga flotila ke Gaza kali ini disertai 10 buah bot sudah berlepas pada 27 Sept lepas dari Itali di bawah FFC dan TMTG, manakala kapal Conscience dilepaskan di Porto Otranto, semalam.

Gerakan FFC ini adalah gerakan flotila susulan selepas Global Sumud Flotilla yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.