SHAH ALAM, 12 OKT: Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) selamat tiba di tanah air sebentar tadi.
Semua wira dan wirawati tersebut tiba dengan pesawat komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.01 petang.
Mereka merupakan antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan selepas sembilan kapal konvoi kemanusiaan dipintas tentera Israel pada jarak 120 batu nautika dari Gaza, 8 Oktober lalu.
Semua aktivis ditahan di penjara Ketziot selama dua hari selepas kapal ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.