SHAH ALAM, 28 MAC: Dua rumah teres dua tingkat terbakar dalam kejadian di Jalan PJS 2D/12, Taman Medan, Petaling Jaya, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.34 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan dua rumah teres kelas A dengan anggaran keluasan 20x30 kaki persegi bagi setiap unit.
"Rumah pertama dilaporkan terbakar 80 peratus manakala rumah kedua terbakar 50 peratus. Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan mangsa," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Muhklis berkata, 21 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan empat jentera utama.
"Operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shahrul Nizam Shamshudin melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala dengan bantuan BBP Petaling Jaya dan BBP Subang Jaya.
"Operasi melibatkan empat jentera utama termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta sebuah Water Tanker. Setakat ini, kerja pemadaman dan kawalan api masih giat dijalankan," katanya.








