ad

Kepimpinan wanita diseru teladani keberanian berprinsip Greta dan Dr Fauziah – Anfaal

12 Okt 2025, 5:40 AM
Kepimpinan wanita diseru teladani keberanian berprinsip Greta dan Dr Fauziah – Anfaal
Kepimpinan wanita diseru teladani keberanian berprinsip Greta dan Dr Fauziah – Anfaal

SHAH ALAM, 12 OKT: Keberanian dan keteguhan dua figura wanita, Greta Thunberg dan Dr Fauziah Mohd Hassan wajar dijadikan teladan kepada kepimpinan wanita berasaskan nilai, prinsip dan semangat kemanusiaan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata wanita masa kini perlu berani tampil memimpin dengan berpaksikan kekuatan moral dan empati bagi membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Greta Thunberg yang menyertai misi Global Sumut Flotilla ke Gaza serta Dr Fauziah yang pernah ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza membuktikan wanita mampu menjadi suara keadilan di pentas dunia.

“Dua sosok ini menunjukkan kepada kita wanita juga boleh berani, boleh memimpin dan boleh mengubah dunia. Mereka bukan ahli politik, tetapi individu berani mempertahankan prinsip dan kemanusiaan. Inilah keberanian yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari (tengah) bergambar ketika Majlis Konvokesyen Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 12 Oktober 2025. Foto SHUKRI MOHAMAD/MEDIA SELANGOR

Menurut Anfaal, kepimpinan wanita bukan soal mencari kuasa, sebaliknya bagaimana kuasa itu digunakan dengan hikmah berasaskan integriti serta keberanian mempertahankan kebenaran dan keadilan.

“Kita tidak mahu melahirkan pemimpin yang hanya pandai berpencak kata-kata di pentas, tetapi pemimpin yang mampu mendengar denyut nadi rakyat, yang turun padang, yang berani mengambil tanggungjawab apabila keadaan paling sukar,” tegasnya.

Beliau turut menambah, pelbagai inisiatif seperti AKW, Siwanis dan penubuhan Sukarelawan Wanita Berdaya akan terus digerakkan bagi memperkukuh peranan wanita dalam kerja kemasyarakatan serta meningkatkan keupayaan mereka sebagai pemimpin komuniti.

“Saya menyeru graduan yang menerima tajaan penuh Kerajaan Negeri Selangor supaya mendaftar sebagai alumni AKW atau Alumni Wanita Berdaya Selangor bagi membentuk jaringan kepimpinan berterusan di seluruh negeri.

“Teruskan menyumbang tenaga, idea, dan kepakaran dalam program-program pemberdayaan wanita di seluruh negeri. Kerana setiap langkah kecil saudari adalah sebahagian daripada perjalanan besar menuju masyarakat yang inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari menyerahkan sijil kepada graduan pada Majlis Konvokesyen Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 12 Oktober 2025. Foto SHUKRI MOHAMAD/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, seramai 97 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen AKW kali ketiga selepas menamatkan pengajian selama 12 bulan di bawah tajaan penuh Kerajaan Negeri.

Sejak diperkenalkan pada 2019, program itu telah melahirkan 345 alumni wanita dalam rangkaian kepimpinan seluruh Selangor.