ad

MCMC, PDRM giat pantau penyebaran video kes rogol pelajar di Melaka

12 Okt 2025, 4:22 AM
MCMC, PDRM giat pantau penyebaran video kes rogol pelajar di Melaka

CYBERJAYA, 12 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan penyebaran rakaman video membabitkan kes rogol yang melibatkan beberapa pelajar sekolah di Melaka didedahkan media semalam.

MCMC dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa diturunkan daripada platform media sosial.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan pengamal media agar melaporkan isu tersebut secara beretika dan bertanggungjawab tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.

Pihak media juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti, selaras dengan larangan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Dalam kenyataan sama, MCMC turut memberi amaran kepada orang ramai bahawa perbuatan menyebar atau mengedarkan rakaman video berunsur lucah atau eksploitasi seksual melalui platform dalam talian merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan reman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.

Kejadian yang berlaku pada 2 Oktober lalu itu dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Insiden berkenaan terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada seorang guru sekolah sebelum membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.