SHAH ALAM, 9 NOV: Polis menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat kes membakar mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata suspek berusia antara 16 hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi di sekitar Skudai, kira-kira jam 7.30 malam tadi.
"Tangkapan dan beberapa rampasan dilakukan susulan penularan rakaman video kejadian itu di media sosial pada hari sama.
"Hasil semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap mereka juga negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrol Anuar berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai membabitkan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berisiko menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan atau kesusahan yang tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya lain.
Sementara itu, Azrol Anuar berkata polis sedang giat mengesan tiga lagi individu yang disyaki turut terbabit dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya.







