KUALA LUMPUR, 11 Okt: Selangor menjadikan pembangunan bakat sebagai teras utama strategi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), atau MBI, Dato’ Saipolyazan M. Yusop.
Beliau berkata, agensi pelaburan negeri itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk melatih jurutera air dan pereka cip semikonduktor selain menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar.
Langkah tersebut, jelasnya, merupakan sebahagian daripada ekosistem lebih menyeluruh bagi memastikan Selangor mempunyai bekalan tenaga mahir yang berterusan.
“Inisiatif ini bukan sahaja untuk menyokong Selangor, tetapi turut melahirkan penyelesaian yang boleh diguna pakai di peringkat nasional. Sebagai contoh, ketika kami melaksanakan kerja pembersihan Sungai Klang sehingga mencapai tahap selamat, negeri lain turut mengambil pendekatan sama,” katanya.

Usaha berterusan kerajaan negeri meningkatkan kualiti air Sungai Klang telah berjaya menaikkan tahapnya daripada Kelas 5 kepada Kelas 3, dengan sasaran menjadikannya sumber air mentah pada masa hadapan.
Tambahnya, Selangor sering menjadi perintis kepada pelaksanaan program yang kemudiannya dijadikan penanda aras dalam menyelesaikan masalah lebih rumit.
Saipolyazan berkata demikian ketika menyertai sesi panel bersama pemimpin rantau Asean pada Selangor Asean Business Conference (SABC) yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Antara panel lain ialah Setiausaha Agung AI Forum Kemboja, Sayumphu Ros; Naib Presiden (Hal Ehwal dan Operasi Antarabangsa) Indonesian Business Council, Thomas Noto Suoneto; dan Pengerusi Asean Young Entrepreneurs Council Singapura, Thomas Shahzad.
Sesi berkenaan menumpukan perbincangan tentang cara membentuk generasi baharu tenaga kerja dan pemimpin dalam kalangan negara Asean.
Antara inisiatif utama MBI ialah kerjasama dengan Universiti Selangor (Unisel) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bagi melaksanakan latihan bertauliah peringkat diploma untuk jurutera dan juruteknik air.
Menurut Saipolyazan, walaupun Air Selangor sudah mempunyai modul latihan kukuh bagi melatih jurutera secara dalaman, kerjasama itu bertujuan menjadikan mereka lebih berdaya saing di pasaran.
“Melalui latihan ini, kita bukan sahaja dapat menyediakan tenaga kerja untuk industri air di Malaysia, tetapi juga berpotensi menawarkannya kepada negara lain,” katanya.

Jelasnya lagi, akses kepada pendidikan turut diberi keutamaan dengan program tuisyen percuma MBI yang berjaya membantu 145,000 pelajar daripada keluarga B40 tahun ini.
Inisiatif itu diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi menangani isu generasi tercicir, yang membantu ribuan pelajar di Selangor menguasai asas literasi sebelum diperluas kepada lebih banyak kumpulan pelajar.
Dalam sektor berteknologi tinggi, Saipolyazan berkata Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Selangor kini menggaji 170 jurutera dengan gaji minimum RM6,000 dan menyasarkan untuk melatih 400 jurutera menjelang 2026.
Melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta akademi latihannya, Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (Asem), kerajaan negeri turut menghantar pelajar ke China untuk menjalani latihan reka cip. Kumpulan pertama graduan kini telah mendapat pekerjaan di syarikat multinasional termasuk Intel.
Saipolyazan berkata, MBI turut memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kekal sebagai tonggak penting dalam agenda pembangunan ekonomi negeri.
Beliau memberikan contoh skim pembiayaan Hijrah Selangor yang telah menyalurkan pinjaman kepada 92,000 usahawan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 bilion.
“Kita bermula secara kecil-kecilan semasa pandemik Covid-19, namun hari ini seramai 88,000 PKS telah berdaftar dengan kami dan menerima latihan pemasaran digital serta pensijilan halal. Apabila mereka berkembang, mereka beralih daripada pinjaman mikro kepada pembiayaan lebih besar daripada institusi kewangan,” katanya.



