ad

KDEBWM ambil tanggungjawab penuh insiden, tetapkan empat langkah penambahbaikan

11 Okt 2025, 3:46 PM
KDEBWM ambil tanggungjawab penuh insiden, tetapkan empat langkah penambahbaikan

SHAH ALAM, 11 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden lori sampah yang merempuh tembok konkrit Plaza Tol Puchong Selatan dekat Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) semalam.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir menjelaskan lori sampah terlibat dikendalikan sebuah syarikat dilantik KDEBWM untuk melaksanakan kerja kutipan sisa pepejal di Kajang namun kontrak perkhidmatannya tamat pada Jun lalu.

“Urusan pindah milik belum diselesaikan syarikat berkenaan termasuk permit kenderaan dan sedang dalam proses. Oleh itu, rekod pemilikan lori sampah masih berdaftar atas nama KDEBWM.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan, KDEBWM telah melaksanakan pemantauan sepenuhnya dan tindakan tegas terhadap semua syarikat kontraktor lantikan dan lori kompaktor yang melanggar terma dan syarat perjanjian,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Ramli menegaskan pihaknya menetapkan empat langkah penambahbaikan drastik serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Jelasnya, penambahbaikan diambil adalah meneliti semula semua prosedur dalaman bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan dan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempercepat proses pertukaran hak milik kenderaan.

“Bagi syarikat kontraktor yang telah tamat pembayaran sewaan kenderaan kepada KDEBWM, mereka wajib membuat pindah hak milik dengan segera selaras dengan termadan syarat perjanjian.

“Kita juga memastikan semua kontraktor lantikan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan JPJ dan APAD terutamanya memastikan pemandu memiliki lesen memandu vokasional (GDL) bagi memandu lori kompaktor dan armroll atau RORO.

“KDEBWM juga akan pastikan semua kontraktor lantikan mematuhi peraturan jalan raya dan pembayaran saman perlu diselesaikan segera supaya tidak mengganggu kelancaran operasi harian KDEBWM,” ujarnya.

Tambahnya, KDEBWM terus memberikan latihan dan bimbingan bersepadu kepada pemandu dengan kerjasama pihak berkuasa supaya mereka kompeten mengendali kenderaan lori sampah dalam operasi harian.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah lori sampah bergerak dari lorong paling kiri ke arah kanan sebelum merempuh tembok konkrit di tengah-tengah plaza tol tersebut.

Susulan kejadian, polis kini sedang mengesan pemandu lori sampah terbabit dipercayai warga Indonesia yang melarikan diri sejurus kemalangan.