KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 yang berlangsung tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merekodkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1.85 juta.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, sidang kemuncak itu turut mencatat nilai potensi pelaburan sebanyak RM2.25 juta melalui 179 sesi padanan perniagaan.
“Antara pencapaian membanggakan, SICS menerima kehadiran 4,055 peserta, melepasi sasaran 3,000. Seramai 578 menyertai sesi Townhall Penjagaan manakala Forum Penjagaan menarik penyertaan 921 peserta,” katanya kepada Media Selangor selepas menyempurnakan sesi penutupan SICS 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, SICS berjaya menzahirkan agenda ekonomi penjagaan berasaskan lima teras utama iaitu advokasi dan kesedaran awam, peningkatan kualiti ekosistem penjagaan, pelaburan dan model pembiayaan, penggunaan teknologi dan inovasi, serta latihan dan pembangunan kemahiran.
“SICS merangkumi empat komponen utama iaitu Ekspo Penjagaan, Townhall Penjagaan, Padanan Perniagaan dan Forum Penjagaan yang berlangsung selama dua hari. Ia turut memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran awam bagi mengubah persepsi bahawa penjagaan bukan sekadar isu peribadi tetapi tanggungjawab sosial dan sektor ekonomi penting,” katanya.
Anfaal berkata, pihaknya menyasarkan untuk meneruskan penganjuran SICS menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) tahun hadapan dengan beberapa penambahbaikan berdasarkan maklum balas peserta.

“Masih terlalu awal untuk menilai keperluan tambahan, namun tumpuan boleh diberikan kepada penganjuran konvensyen, bengkel dan latihan lebih bersasar mengikut keperluan industri.
“Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Selangor Care Network, platform dan portal maklumat yang menjadi pusat rujukan bagi semua entiti berkaitan sektor penjagaan,” katanya.


