KUALA LUMPUR, 11 OKT: Peneraju dalam perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan Kiddocare memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama penyedia khidmat kesihatan digital HeyDoc Health bagi meluaskan manfaat penjagaan kesihatan kepada pengasuh.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare Nadira Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif HeyDoc Health Dr Raymond Choy sempena Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 dan disaksikan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.
Menerusi kerjasama ini, para pengasuh Kiddocare akan didaftarkan terus ke dalam platform penjagaan kesihatan digital berasaskan langganan oleh HeyDoc Health.
Perkhidmatan merangkumi telerundingan tanpa had dengan doktor bertauliah, program pencegahan, rujukan panel di seluruh negara, akses kepada rakan kongsi farmasi dengan penawaran kadar istimewa buat ahli keluarga.
Sementara itu, Anfaal berkata kerjasama melalui MoU antara kedua-dua pihak membantu mengurangkan beban di fasiliti kesihatan awam dan swasta.
“Lawatan secara fizikal ke klinik swasta dan awam dapat dikurangkan hingga 35 peratus. Kes ringan seperti demam denggi, sakit gigi, dan lain-lain boleh dirawat melalui telekonsultasi.
“Doktor akan memberikan preskripsi elektronik untuk ubat di farmasi berhampiran. Caj langganan hanya RM13.99 sebulan bagi setiap pengasuh.
“HeyDoc akan menyediakan perkhidmatan telekonsultasi perubatan untuk pengasuh di bawah Kiddocare, yang kini mempunyai kira-kira 3,000 pengasuh,” katanya kepada Media Selangor.



