HULU LANGAT, 11 Okt — Kerajaan Negeri Selangor akan terus melaksanakan kerja penggantian paip air usang di seluruh negeri bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air yang lebih berkualiti, stabil dan mampan.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim, berkata inisiatif tersebut akan diteruskan menerusi peruntukan tahunan negeri, dengan pelaksanaan melibatkan penggantian 300 kilometer paip setiap tahun dan anggaran kos sekitar RM450 juta.
Menurutnya, usaha itu merupakan kesinambungan kepada pelan penggantian paip yang telah dijalankan sejak dua tahun lalu, melibatkan penggantian lebih 150 kilometer paip lama di seluruh negeri.
“Selangor tanpa ada sokongan daripada Kerajaan Pusat pun kita memang buat. Memang kita sudah sasar 300 kilometer setiap tahun. Dulu dua tahun lepas 150 (km), sekarang kita dah naik ke 300 kilometer setahun. Kalau 300 kilometer itu lebih kurang RM450 juta nilai sebenarnya.
“Kekangan kita sebenarnya bukan isu kewangan, isu dia ialah macam mana nak capai 300 kilometer itu. Bukan mudah sebab kebanyakannya kawasan bandar. Jadi apa yang kita buat tahun ini kita buat permit dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Taman Tasik Cempaka, Hulu Langat, hari ini.
Izham mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa kerajaan Persekutuan akan melaksanakan usaha penggantian paip usang sepanjang lebih 820 kilometer melibatkan Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang, dengan kos keseluruhan mencecah RM3 bilion pada tahun hadapan menerusi Belanjawan 2026.
Menurut Izham lagi, kerja penggantian paip di Selangor dijalankan sepenuhnya oleh Air Selangor menggunakan dana negeri, namun turut mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi geran tahunan susulan kejayaan Selangor mengurangkan kadar air tidak berhasil (Non-Revenue Water, NRW).
“Tiap-tiap tahun kita dapat geran sebab berjaya kurangkan air yang tidak terhasil ikut spesifikasi SPAN. Tahun ini pun kita akan dapat RM300 juta lebih, tahun depan pun dapat lagi. Jadi kita gunakan itu untuk penggantian paip,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kerja penggantian paip lama memberi kesan besar terhadap peningkatan kecekapan sistem bekalan air negeri, khususnya dalam mengurangkan kadar kebocoran dan gangguan bekalan.
“Kita nampak impak apabila kita buat penggantian paip terutama paip AC (asbestos simen) yang paling uzur. Kita ada lebih kurang 5,300 kilometer lagi paip lama, dulu kita ada 6,000. Yang ini nampak impak dari segi pengurangan sebab Selangor antara negeri yang rendah kadar NRW, kita hanya dalam 27 peratus sahaja berbanding negeri lain yang 50 peratus,” katanya.
Usaha berterusan ini, jelas beliau, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh infrastruktur asas, menjamin perkhidmatan air yang berkualiti serta memastikan keperluan asas rakyat terus terpelihara.





