Belanjawan 2026 bantu kukuh ekonomi jingga - Norman

11 Okt 2025, 11:34 AM
Belanjawan 2026 bantu kukuh ekonomi jingga - Norman

SHAH ALAM, 11 OKT: Belanjawan 2026 yang menekankan pembangunan ekonomi jingga disifatkan sebagai langkah berterusan kerajaan memperkukuh sektor kreatif negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Dato’ Norman Abdul Halim.

Norman berkata, ekonomi jingga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa bagi menjana hasil eksport.

“Saya berharap peruntukan disediakan kerajaan lebih menggalakkan pelaburan dan bukan berbentuk geran semata-mata supaya lebih banyak kandungan atau konsert dapat dihasilkan berteraskan merit.

“Selain itu, sekiranya dilaksanakan melalui format rebat produksi, ia juga dapat mengelak situasi di mana peruntukan diberi kepada syarikat atau penerbit kurang berpengalaman yang menjalankan projek tanpa mengeluarkan modal sendiri,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, langkah itu dapat memastikan hanya penerbit atau syarikat berpengalaman menerima manfaat sekali gus menjamin setiap projek yang dilaksanakan mampu memberi pulangan kepada ekonomi negara serta menyumbang kepada pertumbuhan industri kreatif secara mampan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan sebanyak RM110 juta diperuntuk bagi menggalakkan penerbit filem tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.

Selain itu, kerajaan turut memperuntuk RM10 juta untuk penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di negara ini bagi menarik pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.